Khamis, 15 Januari 2009

Salam

NILAI NYAWA SAUDARA KITA
Bumi Palestin yang penuh barakah, tempat suci yang menjadi rebutan tiga agama kini bergolak berdarah lagi. Belumpun sembuh luka Tragedi Shabra dan Shatila (September 1982). Bangsa Israel yang sememangnya terkenal sebagai suatu bangsa angkuh yang sering melakukan ‘kerosakan dan kekejaman’ dibumi Allah bermaharajalela pula di Semenanjung Gaza. Pembunuhan kanak-kanak dan wanita sudah cukup untuk menggambarkan betapa murahnya nilai satu nyawa penduduk Palestin di mata mereka. Melihat kepada kekejaman yang dilakukan oleh tentera Israel ini mereka dilabelkan sebagai ‘bersifat kebinatangan’. Namun mengaitkan kekejaman yang dilakukan oleh yahudi Zionis dengan binatang adalah tidak wajar-tidak wajar kerana binatangpun tidak pernah melakukan kejahatan seperti itu.
Paparan gambar kanak –kanak yang cedera hinggalah jenazah para syuhada di akhbar sudah cukup untuk membuatkan hati menjadi sebak dan sayu. Betapanya kita di Malaysia patut bersyukur tidak perlu berhadapan dengan keadaan seperti ini. Allah maha mengetahui dan adil, benarlah Tuhan tidak akan menimpakan ujian dan cubaan melainkan sesuai dengan kekuatan dan beban yang mampu kita pikul. Penduduk Palestin “ dibekalkan” dengan semangat dan keberanian untuk berhadapan dengan tentera Israel Sekalipun cuma berbekalkan batu . Dugaan ini mungkin tidak tertanggung oleh kita yang tidak pernah berhadapan dengan masalah seperti ini. Bahkan jika meneliti sejarah silam sekalipun kita akan mendapati bahawa masyarkat Melayu tidak pernah menghadapi perjuangan segetir yang dihadapi oleh saudara kita di Palestin. Hal ini bukanlah satu perkara yang aneh kerana sikap Melayu sendiri yang mudah ‘bertolak ansur dan santun’ terhadap kuasa penjajah Belanda, Portugis, Jepun hinggalah British. Kurangnya penglibatan dalam perang juga menjadi faktor yang mendorong kurangnya kreativiti bangsa Melayu dalam seni pembuatan senjata. Sikap di plomasi yang diamalkan sehingga tertubuhnya Malaysia bukanlah satu perkara yang relevan untuk diamalkan Palestin ketika berhadapan dengan kuasa Zionis yang tidak terperi kejamnya. Sekalipun dilabelkan sebagai pesimis namun isu berdiplomasi dan berlembut dengan Yahudi zionis pada hemat saya tidak akan berkesan, sejarah telah membuktikan betapa mereka telah mendustai utusan Allah bahkan mereka ingkar pada perintah Allah. Jika mereka ingkar dengan Pencipta mereka bolehkan janji mereka dipegang?
Memandangkan keganasan semakin menjadi-jadi tidak hairanlah pelbagai cadangan yang diutarakan untuk membantu penduduk Palestin sekadar yang termampu. Isu pemboikotan barang merupakan salah satu cadangan yang menarik perhatian umum. Memandangkan setiap muslim itu bersaudara dan dituntut untuk saling membantu maka sudah pasti ramai yang tergerak hati untuk memboikot barangan keluaran Israel dan Amerika Syarikat. Apatah lagi segenlitir mereka yang bukan beragama Islampun sanggup memprotes tindakan kejam Yahudi Zionis atas dasar kemanusiaan, termasuklah Hugo Chavev. Seharusnya “negara-negara Islam” turut bersama-sama mengambil tindakan berani. Sifat takut kepada ancaman Israel lebih tebal daripada rasa tanggungjawab terhadap saudara seagama. Seharusnya kita yakin bahawa tuhan akan menolong kita sekiranya keredhaan Allah yang kita dahulukan dan bukannya sifat takut pada makhuk ciptaannya. Sehebat manapun Yahudi mereka tetap makhluk yang sama taraf dengan dengan manusia lainnya juga sekalipun mereka merasakan sebagai bangsa terpilih dan ‘sons of God’. Melihat kepada perpecahan sama ada di Palestin-Hamas dan Fatah mahupun ‘di negara-negara Islam’ yang lain maka tidak hairanlah dengan mudahnya pihak yang musuhi Islam mengambil kesempatan untuk melemahkan lagi umat Islam. Tambahan pula “Islam” seolah-olah terpecah kepada pelbagai mazhab, sunni, syiah dan segala macam bentuk lagi. Semakin menyemarakkan lagi isu ini adalah apabila pelbagai pihak mahu mempertahankan pegangan masing-masing. Benarlah kata Rassullulah S.a.w, umat Islam tidak akan sesat selagi mereka berpegang kepada al quran dan sunnah. Islam itu satu fundamental (prinsip) yang tidak memberatkan umat keturunan Adam dan hawa. Tapi momokan-momokan yang dicipta menjadikan Islam seperti sangat kompleks.
Berbalik kepada isu pemboikotan, saya percaya sekiranya umat Islam bersatu memboikot barangan Amerika Syarikat dan Israel sedikit sebanyak akan memberikan impak kepada ekonomi mereka. Semoga pemboikotan ini menjadi medan jihad kecil buat kita. Sebaik sahaja kempen memboikot dijalankan, seperti mana umat Islam yang lain saya begitu teruja untuk turut sama membantu saudara seagama di Palestin. Sebaik sahaja melayari laman Web PPIM , barulah saya tersedar bahawa kebanyakan barang yang digunakan selama ini menjadi sumber kekuatan yang menjana ekonomi mereka. Cabaran untuk memboikot tidak terhenti begitu sahaja sebaik sahaja pulang dari kedai untuk membeli barangan keperluan rupa-rupanya masih ada lagi barang yang dibeli merupakan barangan yang sepatutnya diboikot. Betapa produk-produk mereka sebati dengan kehidupan kita-daripada barangan dapur, kosmetik hinggalah kepada peralatan elektronik . Namun memandangkan tanggungjawab kita untuk membantu, maka sedaya upayalah jugalah memboikot barangan barangan keluaran Amerika dan Israel. Pelbagai pandangan dan suara kedengaran apabila isu pemboikotan ini cuba dilaksanakan termasuklah akan menjejaskan ekonomi negara, hilang pekerjaan dan sukar untuk mencari produk lain yang setanding dengan barangan As dan Israel. Bahkan ada juga yang memandang usaha ini sebagai tidak akan berhasil memandangkan kita masih berkeperluan terhadap teknologi dan kepakaran yang dimiliki oleh mereka termasuklah mengimport jentera. Melihat kepada fonomena ini, pada hemat saya umat Islam seharusnya mengambil peluang ini untuk menghasilkan barangan alternatif agar tidak perlu bergantung kepada produk luar. Kedengaran semula kempen beli barangan buatan Malaysia yang sudah lama tidak menjengah di telinga. Dengan adanya produk alternatif, ia akan memberikan ‘jalan kemudahan’ untuk memboikot barangan tersebut. Misalnya beralih daripada penggunaan ubat gigi colgate kepada ubat gigi jenama mukmin. Dengan memulaukan restauran makanan segera sekalipun saya pasti kita masih boleh hidup dengan baik bahkan mungkin lebih sihat dari sebelumnya. Sememangnya diakui bahawa ada pihak yang akan terjejas termasuklah banyak penternak ayam bumiputera sekiranya pemboikotan berterusan tetapi ini juga boleh menjadi pemangkin untuk menjana pemikiran yang lebih kreatif-misalnya membuka rangkaian perniagaan makanan yang masih berasaskan ayam tetapi diubah kepada ayam bakar, ayam madu dan pelbagai jenis resipi lagi. Kita sedar bahawa produk-produk mereka telah dipatenkan tetapi mengasah minda secara lebih kreatif mungkin akan menghasilkan sesuatu yang lebih segar dan menguntungkan. Lagi pula saya percaya umat Islam tidak kurang hebatnya dalam penciptaan resipi – kita kaya dengan pelbagai makanan namun menjadi tabiat masyarakat kita untuk mengagung-agungkan produk dari luar. Bahkan jika digali dan diselidiki bangsa Melayu pastikan akan menemukan ‘resepi tradisi’ nenek moyang yang bukan sahaja baik untuk kesihatan ( penggunaan herba, ulam-ulam, kunyit , telah terbukti baik untuk kesihatan) bahkan jika dikormesilkan tidak aneh jika jenama makanan muslim juga mampu memecahkan dominasi perniagaan yang sedia ada. Namun tiada apa-apa yang akan berubah jika kita tidak mengubah cara pemikiran terlebih dahulu. Ibu segala perubahan yang mujarab adalah kesedaran. Dan kesedaran hanyalah akan diperolehi melalui ilmu.
Benarlah penguasaan ekonomi juga merupakan salah satu daripada cara mengukuhkan kedudukan umat Islam, berbalik kepada zaman nabi sahabat-sahabat yang kaya seperti Saidina Usman banyak menyumbang untuk perkembangan Islam. Memandangkan sembilan per sepuluh sumber rezeki adalah daripada bidang perniagaan maka umat Islam seharusnya merebut peluang ini untuk menjana kekuatan ekonomi. Biarpun tidak setanding dengan produk luar tiada salahnya jika kita bertatih dari sekarang, kerana tidak mustahil apa yang berlaku di Palestin percikannya tiba di negara kita. Jika ulat dalam batu boleh hidup, apatah lagi kita manusia yang diberikan akal fikiran. Tambahan pula apa yang kita lakukan adalah dengan niat ikhlas untuk membantu saudara seagama untuk mendapatkan keredhoannya. Allah maha pemurah dan Maha penyayang, Dia tidak akan menganiayai makhluknya-sudah pasti Allah yang mengaturkan perjalanan alam akan mengurniakan rezeki kepada kita dalam pelbagai bentuk.
Sering juga kedengaran luahan, kenapa Penduduk Palestin yang beragama Islam tidak menang apabila berhadapan dengan Yahudi. Sebenarnya inilah “sunnatullah”- sukar untuk penduduk Palestin menang apabila mereka melawan bedilan tentera Yahudi Zionis dengan batu. Usahlah dibandingkan kemenangan tentera Islam pada zaman Rasullullah s.a.w sekalipun berhadapan dengan musuh yang lebih ramai kerana pada masa itu bukan sahaja taktik dan strategi yang mantap tetapi semangat berkerjasama dan bersatu padu yang tinggi. Menjadi lumrah alam, apabila yang kuat akan menang dan yang lemah kecundang, namun kita sebagai mukmin sudah pasti kita percaya tuhan akan menolong kita. Suatu masa nanti kebenaran akan menghancurkan kebatilan. Kebenaran akan muncul jua. Tetapi dalam menunggu kebenaran terserlah dan kemenangan menjenguk, umat Islam mestilah bermula dari sekarang kerana Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa melainkan mereka sendiri yang berusaha mengubahnya. Insyaallah, gelombang kegemilangan umat Islam muncul semula –tidak mustahil umat Islam akan meniti semula kegemilangan di Andalusia yang telah memberikan sinar kepada penduduk Eropah yang terbelenggu dalam Dark Ages dan menjadi salah satu pemangkin kemajuan Eropah hingga kini.
Menoleh sejenak ke zaman kegemilangan Islam di Eropah banyak mutiara pengajaran yang boleh diambil untuk mengembalikan semula detik-detik keemasan. Betapanya kita perlu mengakui Umat Islam silam telah menjadi guru kepada penduduk Barat selama beratus-ratus tahun sehingga mereka mencapai enlightement. Tidak lain tidak bukan umat Islam terdahulu dihormati kerana ketinggian ilmu pengetahuan sehingga melahirkan ilmuan ulung dalam pelbagai bidang seperti ibn Sina dan ibn Rusyd, al Zarkiyali. Khazanah ilmu yang dimiliki oleh orang Islam didalami dengan penuh tekun sehingga akhirnya mereka dapat menguasainya. Namun bukanlah suatu perkara yang aneh sekiranya umat Islam melakukan tindakan yang sama, yakni mempelajari semula walaupun perlu berguru dengan mereka. Pendek kata, orang bukan Islam menjadi maju kerana mereka banyak mengamalkan “cara hidup Islam”. Buktinya budaya iqra yang dituntut oleh Islam diamalkan oleh mereka berbanding dengan orang yang mengaku dirinya Islam. Hal ini belum lagi mencakupi hal-hal kebersihan, soal amanah, ketekunan dan segala macam nilai murni.
Tiada jalan pintas untuk berjaya, tiada taburan kelopak mawar mahupun bunga manggar untuk mendapatkan kejayaan melainkan diiringi onak duri yang penuh berliku. Sudah tiba masanya umat Islam kembali berpegang kepada al –Quran dan sunah dalam erti kata yang sebenar-benarnya. Pengguasaan dalam bidang ilmu pengetahuan, bidang ekonomi, seiring dengan kecintaan pada Allah sudah pasti akan mengembalikan semula martabat umat Islam yang sekian lama diinjak-injak.
Walaupun saya bukanlah pakar ekonomi, sejarawan, ulama mahupun ilmuan ulung saya merasa bertanggungjawab untuk menulis apa yang saya fikir. Sesiapa sahaja boleh memilih untuk tidak bersetuju dengan pandangan saya kerana ia tidak wajib betul dan tidak semestinya salah. Dari kejauhan doa dipanjatkan untuk saudara- saudaraku di bumi Palestin, semoga Tuhan akan memberkati perjuanganmu- dikurniakan kemenangan, pergimu sebagai syuhada.